Realiti penyelidikan sains Otak dan Minda Malaysia di peringkat antarabangsa Jafri Malin Abdullah

Mengikut apa yang ditunjukkan didalam buku Penyelidikan sains asas, gunaan dan klinikal neurosains: perjuangan yang belum berakhir oleh Jafri Malin Abdullah keluaran Penerbit USM 2006


Ilmu neurosains merangkumi ilmu tentang sel-sel otak yang secara bersendirian dan berkelompok berfungsi dan berinteraksi. Sel-sel otak ini juga berinteraksi dengan saraf tunjang yang terdiri daripada saraf spina medula dan cabang- cabangnya hinggalah ke saraf periferi. Pengetahuan dan penyelidikan neurosains ini masih berkurangan di Malaysia dan perlu dipertingkatkan. Malaysia menduduki tempat terakhir dalam rangkaian negara yang hampir maju selepas Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Afrika Selatan dan negara Amerika Selatan, dalam bidang neurosains. Hal ini disebabkan hanya sejumlah kecil sahaja saintis di Malaysia yang terlibat secara langsung dalam bidang ini. Usaha Universiti Sains Malaysia (USM) untuk meningkatkan jumlah pakar neurosains dalam bidang asas gunaan dan klinikal sedang giat dijalankan. Ilmu psikologi dan minda terdiri daripada satu bahagian fungsi kognitif. Penggunaan minda untuk mendapat maklumat daripada fungsi persekitaran belum diselidiki dengan teliti khususnya dalam konteks pemikiran rakyat kita yang berbilang kaum. Ilmu baru tentang anatomi neuro (struktur sel) yang merangkumi protein, lemak dan karbohidrat (proteomik, genomik dan neurosains berkomputer) juga perlu dirisik untuk membongkar rahsia-rahsia baru. Fisiologi neuro (tindak balas sel melalui pelbagai cara seperti peralihan caj dan pergerakan kimia neuro) dan "jiwa" (psikologi) yang mengawal tindak balas terhadap stimulus-stimulus luaran dan dalaman masih belum dikaji dengan terperinci oleh saintis Malaysia. Penggunaan biodiversiti yang wujud di Malaysia sepatutnya disepadukan ke dalam penyelidikan neurosains di peringkat asas, gunaan dan klinikal kerana terdapat ubat untuk merawat penyakit-penyakit ini yang masih tersembunyi di dalam hutan, sungai dan lautan kita. Kumpulan Penyelidikan Neurosains USM melalui Brain Sciences Network telah meningkatkan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa. Kesannya mula terlihat dengan meningkatnya penerbitan tentang neurosains di peringkat nasional dan antarabangsa dalam bidang neurosains semenjak dua tahun yang lepas.